22.3.15

FILMOLOGUE: Toy Story 3


"Maybe Andy doesn't care about us anymore..."

Pelbagai andaian telah dibuat oleh mereka dan ia tidak menyelesaikan apa-apa malah menambahkan lagi kegelisahan di dalam hati. Dalam proses mengemas barang untuk berpindah ke kolej, Andy perlu membuat keputusan untuk masa depan mainan-mainannya itu, sama ada dibuang, didermakan atau disimpan di dalam attic. Haruskah mereka terus membenih harapan sepertimana Woody yang terus meyakini Andy, atau berputus asa dengannya seperti yang dilakukan Lotso terhadap pemiliknya..?



Setiap mainan ada pemilik

"But we don't need owners at Sunnyside. We own ourselves.
We're masters of our own fate. We control our own destiny."

Lotso percaya bahawa setiap mainan itu akan dibuang, ditinggalkan, digantikan atau didermakan oleh pemilik masing-masing dan ia juga percaya bahawa bila tiadanya pemilik maka tiadalah hati yang patah. Baginya, itulah hakikat sebuah mainan, tidak dicintai pemilik, hanya sekadar dimain kemudian dibuang dan akhirnya digantikan dengan mainan yang lain. Itulah realiti yang dilihat Lotso.

Namun berbeza dengan kefahaman Woody yang percaya bahawa setiap mainan itu dicintai oleh pemilik mereka. Baginya pula, hakikat sebuah mainan tidaklah sekadar untuk dimain sahaja, tetapi untuk meraih 'redha' pemiliknya agar ia ditempatkan di tempat yang baik sepertimana yang digambarkan di akhir filem bahwa Woody dan rakan-rakannya didermakan kepada Bonnie yang akan menjaga mereka dengan baik.

"I have a kid. You have a kid. Andy! And if he wants us at college,
or in the attic, well then, our job is to be there for him."

Menurut Woody, tujuan hidupnya adalah untuk Andy kerana dialah yang memilikinya dari awal dan dia yang menjaga dan selalu bermain dengan Woody  selama ini. Sudah pasti kewujudan Woody adalah untuk Andy.  Dengan keyakinan yang kuat, mana mungkin Woody dapat meninggalkan Andy. Oleh itu, Woody akan terus bersama dengan Andy sehinggalah Andy berpuas hati dan menempatkannya di tempat yang lebih baik.


Tujuan hidup kita?

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka beribadah kepadaKu."
[Adz-Zaariyat 51: 56]

Bagaimana pula dengan tujuan hidup kita sebagai manusia, atau lebih tepat lagi sebagai seorang Muslim? Apakah kita hidup semata-mata untuk mencari kerja kemudian menjadi kaya? Apakah kita hidup semata-mata mencari keseronokan yang sementara? Apakah kita hidup semata-mata untuk berjaya di dunia sahaja?

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat;
Aku hendak menjadikan khalifah di bumi..."
[Al-Baqarah 2:30]

Sedangkan Allah yang mencipta kita, dan kita pula akan kembali kepadaNya, sudah pasti tujuan kita hidup adalah untuk Allah, Pemilik segala-galanya. Menimba ilmu, mencari rezeki, menolong sesama sendiri, segala yang kita buat adalah untuk Allah. Itulah 'ibadah dan sampai satu tahap, seorang 'abid itu akan sedar bahawa menjadi 'abid sahaja tidak mencukupi dan dia perlu menyedarkan orang lain juga. Maka di situlah peranan kita sebagai  khalifah. Mentadbir bumi, memimpin ummah, dan menegakkan daulah islamiyyah. Seharusnya itulah tujuan hidup kita sebagai hambaNya, menjadi 'abid dan khalifah.

Ditinggalkan atau meninggalkan?
Daisy (pemilik kepada Lotso) tidak pernah mengkhianati cintanya kepada Lotso. Namun ketika Lotso terlihat dirinya diganti, ia sangka bahawa Daisy tidak lagi mencintainya dan terus percaya bahawa dirinya telah ditinggalkan oleh Daisy. Padahal Daisy menggantikan Lotso dengan mainan yang sama (Lots-o-Huggin'), bermakna Daisy masih mahukan Lotso. Maka di dalam situasi ini, siapa yang meninggalkan siapa?

Walau doa tidak dikabulkan, walau diri ditimpa musibah satu demi satu, walau hati diuji pelbagai maksiat, Tuhan tidak pernah sekali-kali meninggalkan hamba-hambanya. Cukuplah dengan kemampuan kita bernafas selepas bangun dari tidur untuk menjadi buktinya. Walau miskin harta atau miskin jiwa sekalipun, Tuhan tidak akan meninggalkan hambanya, tetapi sebaliknya kita pula yang meninggalkanNya atas prasangka hati.



Ad-Dhuha

"Demi waktu dhuha, dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkanmu (Muhammad) dan tidak pula membencimu, dan sungguh, yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan karuniaNya kepadamu, sehingga engkau menjadi puas."
[Ad-Dhuha 93:1-5]

Filem ini mengingatkan aku kepada suatu peristiwa ketika mana wahyu Allah berhenti menurun kepada Rasulullah dalam tempoh yang agak lama yang boleh membuatkan kita berputus asa. Andai kita berada di tempat Rasulullah, bagaimanakah perasaan kita apabila diejek dan digelakkan orang Quraisy yang mengatakan Tuhan telah meninggalkanmu dan tak sayangkanmu? Allahu.

*sakitnya tuh di sini di dalam hatiku*

Namun, ayat di dalam surah ini kemudiannya diturunkan kepada Rasulullah sebagai berita gembira dan juga penaik semangat atau motivasi buat baginda. Hakikatnya, dari awal lagi Allah telah membela Rasulullah sejak Dia membeli jiwa baginda. Telah terbukti di dalam ayat ini bahawa Allah tidak pernah meninggalkan baginda mahupun membencinya, dan pastinya Allah telah menyediakan baginya Syurga kelak hari atas dakwah yang dilakukan baginda.

"Prasangka hati memakan diri,
percayalah pada Tuhan,
yang memberi rezeki."

19.2.15

FILMOLOGUE: Big Hero 6


"Hello. I am Baymax. Your personal healthcare companion. I was alerted to the need for medical attention when you said,'Ow'."
Begitulah pengenalan sebuah robot yang diberi nama Baymax oleh penciptanya, Tadashi Hamada, apabila teraktif setelah kedengaran bunyi kesakitan seperti "Ow". Baymax, sebuah robot berwarna putih, merupakan ikon utama di dalam sebuah filem Disney ber'genre' superhero, Big Hero 6, yang akan saya bedah dan kongsikan serba sedikit pada entry kali ini.

Big Hero 6
Jarang sekali Disney menghasilkan animasi berasaskan superhero dan Big Hero 6 merupakan filem animasi pertama Disney yang di mana watak-wataknya diadaptasi dari Marvel Comics superheroes, Big Hero 6. Ini juga menjadi faktor utama saya untuk menyaksikannya. Hoyeah!

Jalan cerita keseluruhan filem animasi ini adalah seperti kebiasaan filem-filem superhero sepertimana filem Marvel dan seumpanya. Memandangkan ia berasaskan superhero, maka wujudlah watak protagonis (watak utama) yakni Hiro Hamada, dan juga watak antagonis (watak yang melawan) yakni Professor Callaghan.

Siapa Hiro?
Hiro adalah adik kepada Tadashi Hamada yang telah mencipta Baymax. Dia juga merupakan seorang budak yang sangat bijak dan tinggi intelligencenya, dan berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat sekolah seawal usia 14 tahun. Kepakarannya dalam bidang robotiks juga terbukti apabila Microbots hasil ciptaannya berjaya menarik perhatian ramai dan juga Professor Callaghan. Maka dengan itu, Hiro berjaya memasuki San Fransokyo Institute of Technology, didorong oleh abangnya sendiri. Setelah tamat konvensyen, institut itu terbakar dan dalam proses menyelamatkan professor di dalam, Tadashi juga terkorban di dalam kebakaran tersebut. Insiden ini telah memberi impak yang sangat besar kepada Hiro Hamada.

Siapa Callaghan?
Selain terkenal sebagai saintis inspirasi dunia dalam bidang robotics, Robert Callaghan juga merupakan seorang Professor di San Fransokyo Institute of Technology dan mentor kepada Tadashi. Beliau juga merupakan seorang yang sangat passionate kepada sains dan robotiks dan ingin mengubah dunia dengannya. Namun, sifat baiknya itu berpaksikan pada cintanya terhadap anaknya, Abigail, sehinggalah anaknya itu terlibat dalam kegagalan eksperimen atau salah satu ujian transporter Alistair Krei, beliau menyimpan dendam terhadap Krei atas kehilangan anaknya di dalam ruangan masa. Ia telah mengubah hidupnya 180 darjah.



Persamaan Protagonis dan Antagonis
Setelah menonton filem ini, saya mendapati beberapa persamaan di antara Hiro Hamada dan juga Professor Callaghan. Kedua-duanya sangat bijak dan pakar dalam bidang sains dan robotiks. Kedua-duanya kehilangan insan yang sangat rapat dengan mereka, Tadashi dan Abigail. Kedua-duanya juga sangat bersedih ke atas kehilangan insan tersayang mereka yang merupakan paksi dalam hidup mereka. Pada awalnya, kedua-duanya juga ingin berbalas dendam kepada orang yang bertanggungjawab atas kematian insan tersayang mereka, namun berbeza sedikit buat Hiro yang kemudiannya menyedari kesilapannya itu.



Apakah tindakan yang seharusnya apabila menghadapi sebuah kematian insan yang tersayang?

Kematian yang Menghidupkan
Sepertimana cas elektrik mempunyai cas positif dan juga cas negatif, begitulah juga tindak balas kita dalam apa-apa keadaan dan situasi, tindak balas positif dan tindak balas negatif. Di dalam filem ini, kita dapat lihat kedua-dua tindak balas positif dan negatif melalui Hiro dan Callaghan.

Hiro yang pada awalnya hanya bersedih membasahi bumi dan mengurung diri di dalam bilik, kemudian bertindak membalas dendam terhadap Callaghan, dan akhirnya bertukar menjadi positif apabila dia menyedari dan percaya bahawa sudah pasti abangnya tidak mahu dia menggunakan Baymax sebagai alat pemusnahan. Sudah pasti tindakan negatif itu adalah bertentangan dengan impian abangnya yang mahu mengubah dunia dengan kebaikan dan pertolongan.

Sebaliknya, Callaghan yang mengambil tindakan negatif sehingga ia sudah terlambat untuk sedar, berniat mengambil segala-galanya dari Alistair Krei sepertimana dia mengambil nyawa Abigail yang merupakan segala-galanya bagi Callaghan. Sayang yang mendalam terhadap anaknya telah membutakan hati sehingga ego memakan diri menyebabkan ia bertindak tanpa berfikir panjang. Sudah pasti bukan itu yang dimahukan Abigail bukan?

Di akhir filem, ternyata kematian Tadashi bukanlah sesuatu yang patut dikecewakan seolah-olah hilangnya sebuah harapan dalam hidup, tetapi hakikatnya ia menghidupkan lagi dengan tinggalan ciptaannya, Baymax yang merupakan ikon legasinya, untuk mengubah dunia dengan lebih baik.



Sebagai seorang Muslim, apakah tindakan kita?
Seorang Muslim seharusnya yakini dan percaya bahawa kematian itu pasti dan ia datang tanpa diundang sepertimana janji Allah di dalam Al-Quran,

"... Setiap yang bernyawa pasti akan mati..."

Sewajarnya juga sebagai seorang Muslim, perlu kita yakini bahawa kita akan kembali kepadaNya sebagaimana kita datang daripadaNya sebagai 'abdillah.

Oleh itu, dalam menghadapi sebuah kematian insan yang tersayang, apakah tindakan yang mampu kita fikirkan? Patutkah aku bersedih atas kematiannya sedangkan waktu rehatnya telah tiba dan aku masih lagi be'kerja'? Patutkah aku bersedih semata-mata kerana hilangnya sebuah permata harapan di dunia? Patutkah aku bersedih sedangkan dia akan bahagia dan aku masih lagi berfoya-foya?

Suka untuk saya mengaitkan hal ini dengan pemergian Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA) yang jatuh pada tarikh 12hb Februari bersamaan dengan tarikh pemergian As-Syahid Syeikh Imam Hassan Al-Banna, pada tahun 1949. Pemergiannya ditangisi beribu malah berjuta atau seluruh dunia kerana kepimpinannya yang begitu terkesan dirasai sendiri oleh rakyatnya di Kelantan.

Jika sebagai ahli keluarga yang terdekat, pasti saya juga akan bersedih. Namun sebagai seorang yang hanya mengenali biografi beliau dan perjuangan beliau dari jauh, tidak wajar untuk saya bersedih berpanjangan hingga menyebabkan perjuangan dakwah itu terbantut. Sudah pasti bukan itu yang beliau mahukan dan semestinya beliau mahukan perjuangan beliau atau lebih tepat lagi, perjuangan Rasulullah dan legasi baginda, legasi dakwah diteruskan.

Beliau telah berpenat mengorbankan wang dan segala tenaganya demi perjuangan dakwah, dan telah tiba masanya beliau berehat berpanjangan sebagai 'bunga' yang terpilih oleh Allah. Seharusnya kita bersedih ke atas diri kita yang masih lagi bernafas, malas berjuang dan terlalu banyak berehat, bukannya bersedih ke atas TGNA yang sedang bahagia menemui Tuhan.

"Usah biarkan kematiannya terus mati,
tetapi hidupkanlah ia di dalam sanubari."

29.6.14

Kunci yang Hilang [II]

Apakah tanda sesebuah kenderaan itu kehabisan minyak? Adanya Fuel Gauge yang menunjukkan jejari ke arah huruf E, Empty Tank. Apakah tanda seseorang pelajar itu menghadapi tekanan belajar? Terbukanya buku di hadapan muka, terbuka juga screen monitor dengan terpampang besar FIFA14... eh?!


Jadi, apakah tanda-tanda kita telah mencapai at-Taqwa seperti yang Allah telah matlamatkan untuk kita di bulan wajib puasa, Ramadhan ini?

28.6.14

Kunci yang Hilang [I]

Ramadhan Countdown. Zero days left brother! Zero days left! Just a few hours counting!


Walaupun berbaki dua puluh empat jam menanti ketibaan Ramadhan, nyawa kita tetap di tangan Allah. Kalau ditakdirkan Allah menariknya, maka itulah ketentuanNya.

27.6.14

Expecto Patronum!



Dahulu kala, pernah juga terlintas di dalam horizon pemikiran, macam mana lah sepuluh ayat terawal dan sepuluh ayat terakhir surah al-Kahfi ini dapat menyelamatkan kita daripada Dajjal?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...