25.2.13

Mendaki Tak Semudah Menurun! Oh Imanku!


Mendaki bukit bukanlah perkara yang kacang goreng dan bukan juga mission impossible. Ia adalah sesuatu yang mampu dilakukan oleh kita semua! Semestinya dengan dua option, NAK atau TAKNAK.


Bismillahi tawakkaltu 'ala Allah.

Melaksanakan rukun Islam yang kedua di atas puncak bukit sememangnya adalah satu pengalaman yang tidak akan jemu untuk diceritakan kepada anak-anak, cucu-cucu, cicit-cicit dan zuriat seterusnya.

Mendirikan Solat Subuh bukan juga perkara yang mudah bagi kebanyakan orang termasuklah diri ini, namun dapatku dirikannya di atas puncak bukit yang mungkin hanya akan terjadi sekali seumur hidup. Syukur Alhamdulillah.

Sabda Rasulullah SAW:
“Iman itu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun, maka hendaklah kamu perbaharui iman kamu dengan kalimah La Ilaha illallah.”
(Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Di sekolah, kita telah belajar mengenai fitrah IMAN kita yang sentiasa naik dan selalunya turun. Ia membuatkan aku terfikir, untuk meningkatkan Iman memang susah dan perlu kuat mujahadah tapi ia sangat mudah terturun semudah Alif Ba Ta.

Begitulah juga ketika mendaki dan menuruni bukit.

Mendaki bukit memang mudah dan memang susah! Confuse kan? (Mudah dan susah bergantung kepada individu) Tapi yang penting ia sangat memenatkan! Banyak cabaran, rintangan dan halangan yang perlu dihadapi.

Menuruni bukit pula pada hakikatnya lebih mudah dan lebih berisiko bukan? Boleh lari terus ke bawah, boleh berguling-guling ke bawah, dan nak terjun terus ke bawah pon boleh! Sangat mudah.

Itulah persisnya IMAN kita. Susahnya iman kita nak naik dengan adanya gangguan luar, pengaruh buruk, hedonisme, terutamanya nafsu yang sering bekerjasama dengan syaitanirrajim menggoda hati yang tak bersalah. Maka, anda akan rasa penat untuk bermujahadah dengan perkara-perkara itu.

Di saat IMAN kita hampir sampai ke puncak, kerana tersalah langkah IMAN boleh jatuh dengan begitu mudah. Barangkali terguling-guling? Dengan jahiliyah yang semakin bermaharajalela, IMAN kita memang mudah untuk jatuh.. kalau tidak berhati-hati.

Sabda Baginda:
“Iman seseorang boleh menjadi usang dan lusuh seperti usang dan lusuhnya sehelai pakaian. Maka hendaklah kamu memohon ke hadrat Allah supaya memperbaharui iman kamu yang ada dalam hatimu.”
(Hadis riwayat Tabrani dan Hakim)

Terimalah hakikat bahawa IMAN memang sentiasa naik dan memang sentiasa turun! Berdoalah kepada Allah agar IMAN terpelihara! Lawanlah nafsumu agar IMAN mudah untuk mengembara! Jangan biarkan IMAN kita jatuh dan sengsara! Takut-takut kita yang binasa!

Muaz Jabal berkata:
“Marilah duduk bersama kami untuk kita beriman sesaat.”

Setelah penat melakukan kerja seharian, apa salahnya kalau kita duduk sebentar bersama dengan rakan kita, bertanya khabar iman masing-masing dan beriman sejenak bukan? :)

#DakwahItuMudah JOM!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...